Ahli falsafah yang mendahului zaman.
Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Namun begitu, falsafah
Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran
manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani
dan barat jika dibandingkan dengan ahli falsafah Islam.
Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, dan Ibn Sina
mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat yang
sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle.
Kajian-kajian mengenai tokoh berkenaan masih belum memadai dan jauh daripada
memuaskan.
Walaupun para sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam telah menghasilkan sejumlah
karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan mereka belum diterjemahkan.
Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh peperangan dan penaklukan yang
dilakukan oleh kuasa asing. Malahan kajian yang dibuat terhadap pemikiran falsafah
beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu Rusyd tidak diberikan penilaian yang adil.
Kajian dan terjemahan yang dibuat oleh S.Van den Berg terhadap kitab "Lima Baida
al-Thaan", tulisan Ibnu Rusyd mengenai metafizik misalnya tidak mendapat sorotan
yang meluas wahal kajian tersebut dapat membantu kita memahami dan mendekati
pemikiran ahli falsafah itu dengan lebih mendalam lagi.
Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibn Tufail tidak banyak diketahui oleh umat
Islam sendiri. Ibn Tufail yang lahir pada tahun 1106 Masihi di Asya, Granada lebih
dikenali sebagai ahli hukum, perubatan, dan ahli politik yang handal. Semasa
pemerintahan al-Mu'min ibn Ali, Ibn Tufail atau nama asalnya, Abu Bakr Muhammad
ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi pernah dilantik
sebagai pembantu gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.
Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu
Ya'kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya digantikan oleh anak muridnya iaitu Ibnu
Rusyd. Semasa hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai menteri dan merupakan
ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah.
Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang pendidikan, pengadilan, dan
penulisan. Walaupun Ibn Tufail dikatakan telah menulis banyak buku tetapi hanya
sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada generasi umat Islam hari ini. Kitab itu
ialah "Hay ibn Yaqzan" yang memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya
bahasa yang menarik dan imiginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan
paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.
Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa dunia. Yang
menarik dalam buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia
mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini dapat dilakukan
dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.
Menerusi buku itu, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan
perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia. Beliau berusaha mengungkap
persoalan serta hubungan antara manusia, akal, dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah
menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa
sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas,
sejuk, kering, dan basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat
mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan
pancaindera. Langkah Ibn Tufail menggunakan analog! watak tersebut dalam
bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang
berbentuk falsafah.
Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu bapanya. Tetapi alam telah
memberinya seekor kijang yang menyusu dan memberinya makan. Setelah dewasa,
dia mengarahkan pandangannya terhadap perkara yang ada di sekelilingnya. Di sini
dia mulai membahaskan tentang kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku
disekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alamnya terdapat sebab-sebab yang
tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya. Hay bin Yaqzan selalu membahas
dan menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa
kebahagian dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan
Allah. Dengan watak "Hay" itu, Ibn Tufail berjaya membuat huraian yang menarik
sekaligus membantu kita memahami pemikiran falsafahnya.
Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibn Tufail mengenai ilmu metafizik,
matematik, fizik, dan sebagainya. Ibn Tufail melihat alam ini sebagai baru dan
ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh. Dalam diri manusia pula terdapat
roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini. Falsafah Ibn
Tufail bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga
sains tabii seperti fizik. Ibn Tufail mendapati bahawa lapisan udara yang tinggi lebih
sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku
di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara.
Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan melalui geselan, gerakan
cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari. Meskipun pandangan itu dianggap
sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini tetapi pandangan ini sebenarnya telah
menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan
dan segala fenomena yang berkaitan dengannya. Pemikiran falsafah Ibn Tufail juga
meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan masyarakat
terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka
mudah terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu
memperbahaskannya.
Ibn Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah. Maka sebab itu beliau mudah
menerima pandangan falsafah Ibnu Bajjah, al-Farabi, dan beberapa ahli falsafah Islam
yang lain dengan baik. Menurut sesetengah pengkaji dan pemikir, Ibn Tufail banyak
dipengaruhi oleh falsafah Ibnu Bajjah sebagaimana yang dapat diperhatikan pada
pertengahan buku Hay bin Yaqzan yang banyak membawa saranan yang terdapat
dalam kitab "al-Mutawwahid". Dalam buku itu, Ibnu Bajjah telah melakukan
pembelaan terhadap tulisan-tulisan al Farabi dan Ibnu Sina.
Namun begitu, Ibnu Tufail tidak menerima sarangan itu bulat-bulat melainkan
selepas dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau seorang yang berpegang kepada
logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.
Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan
mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain.
Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan
mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan.
Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada
1185 Masihi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
please isi yupz