Tokoh pemikir yang setanding dengan Iqbal
Malik Ben Nabi dilahirkan di Constantine, sebuah kota di Algeria Timur pada tahun
1906. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah Madrasah al-Quran di Perancis.
Disebabkan kepintaran dan kepandaiannya, Malik mendapat biasiswa bagi
meneruskan pengajiannya dalam kelas persediaan selama dua tahun di sekolah El-
Djelis di Constantine.
Kemudian beliau memasuki sebuah madrasah yang melatih bakal hakim, guru, dan
pembantu rumah sakit. Setelah memasuki madrasah berkenaan beliau didedahkan
dengan kesusasteraan Perancis khususnya hikayat pengembaraan dan hikayat timur.
Beliau berasal daripada keluarga yang sederhana, namun berjiwa besar. Semasa
melanjutkan pengajian diperingkat tinggi di Constantine, beliau sempat bertemu
dengan Syeikh Abdul Majid dan Profesor Martin. Tokoh inilah yang banyak
mempengaruhi pemikiran dan pembentukan sahsiah diri.
Setelah tamat pengajian, beliau pernah beberapa kali berkunjung ke Perancis.
Seterusnya pada tahun 1930 beliau melanjutkan pengajian di Kolej Kejuruteraan.
Setahun kemudian beliau berkahwin dengan wanita Perancis yang telah memeluk
Islam. Semasa belajar, beliau terlibat dalam pelbagai Gerakan Pembaharuan. Di
sinilah beliau banyak mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam serta
mengikuti perkembangannya sama ada dari dalam atau luar Algeria seperti di Mesir,
Hijaz, dan Maghribi.
Malik juga pernah menjawat jawatan Pegawai Pendaftar Mahkamah di Huran. Dalam
tempoh itu beliau berpeluang bertemu dengan masyarakat untuk mengetahui masalah
mereka yang berada di bawah penjajahan Perancis. Setelah Algeria merdeka pada
tahun 1963, beliau menyandang jawatan Pengarah di Kementerian Pendidikan
sehingga tahun 1967.
Berdasarkan sejarah awalnya, Malik tidak berhasrat untuk menjadi seorang ahli
falsafah, namun perkembangan dan keadaan semasa mengubah segala-galanya.
Keadaan ketika itu telah memberi kesan mendalam dalam diri dan keperibadian
beliau. Pengalaman itu memberi inspirasi kepadanya dalam memperjuangkan Islam
dan meninggikan ummah dan bangsa.
Sebenarnya, perjalanan hidup beliau semasa penjajahan Perancis menyedarkannya
tentang kemunduran masyarakat Islam. Lebih-lebih lagi mereka cuba mengubah
identiti dan thaqafah atau nilai-nilai kebudayaan Islam dalam diri masyarakat Islam.
Keadaan ini menyebabkan beliau mahu membebaskan pemikiran penjajah dalam jiwa
rakyatnya.
Malik mempunyai minat yang mendalam dalam mempelajari dan membaca karya
yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh terkenal. Oleh sebab itu, karya-karya tokoh Islam
seperti Syeikh al-Maulud bin al-Mauhub, Ibn Hasib dari Algeria, dan pemimpin Mesir
seperti Muhammad Abduh secara tidak langsung telah mempengaruhi pemikiran
beliau.
Selain itu, buku Risalah Tauhid karya Muhammad Abduh dan Keruntuhan Akhlak
dalam Politik Barat oleh Rashid Redha, telah menyedarkan Malik tentang masalah
umat Islam. Masalah keruntuhan akhlak dan kemiskinan intelektual yang semakin
ketara perlu diselamatkan.
Beliau banyak meninggalkan koleksi karya, buku, dan esei ilmiah yang dapat
menyumbangkan ilmu pengetahuan dan dimanfaatkan oleh dunia Islam kini. Malik
sering memberi tumpuan kepada persoalan Tamadun Islam dan membuat
perbandingan dengan urutan peristiwa semasa, isu-isu ekonomi, dan sains
kemasyarakatan.
Karya beliau yang ditulis dalam Bahasa Arab telah diterjemahkan, antaranya ialah:
Lobbdyk, The Problem of Culture; The Ideological Struggle In Colonised Countries;
The New Social Editification; The Idea of an Islamic Commonwealth.
Manakala hasil tulisannya dalam Bahasa Perancis pula ialah:
The Qur'anic Phenomenon; Vocation De Li Islam; Reflections; Memoirs Malik; The
Work of Orientalistes; Islam et Democratic; Islam In History and Society.
Malik telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T. ciri-ciri keistimewaannya tersendiri,
iaitu pemikiran yang amat tajam dan mendalam dari segi penghayatannya.
Pandangannya tentang Islam sentiasa mendapat tumpuan cendekiawan-cendekiawan
Islam di Timur Tengah dan Eropah kerana sering menyentuh sesuatu isu secara
global.
Menurut beliau, masyarakat Islam boleh membina tamadun dan peradaban di persada
alam Islam dengan kembali kepada fitrah diri mereka sendiri. Mereka perlu
menghayati Islam dan membina akidah dalaman yang mantap. Kemudian
mengangkat diri mereka ketahap peradaban yang terkini dengan memperlengkapkan
diri dengan pengetahuan teknologi semasa.
Isu-isu yang sering diutarakan oleh beliau adalah bersandarkan kepada nas-nas al-
Quran dan sirah Nabawi. Selain itu, beliau juga mengambil kira usul-usul Islam yang
bersesuaian dengan keadaan semasa.
Oleh hal yang demikian, Malik dianggap sebagai pemikir dan sarjana yang paling
menonjol di Algeria selepas Perang Dunia Kedua. Sebagai seorang ahli falsafah,
ketokohan beliau setanding dengan Iqbal. Nama beliau mula dikenali ramai kerana
kebanyakan karyanya berkisar mengenai masyarakat Islam. Pemikirannya banyak
menyentuh tentang penderitaan dan gejala sosial yang dialami masyarakat Islam.
Cetusan idea beliau tidak hanya dijadikan kajian oleh sarjana-sarjana Islam, malah
mula dipraktikkan oleh negara-negara Islam kini. Nama beliau mula dikenali di
kalangan graduan-graduan Islam sejak kebelakangan ini.
Peranan dan jasa beliau amat berharga kepada dunia Islam. Misi beliiau adalah sama
seperti ulama ulama silam Melayu. Antaranya ialah Syeikh Hadi al-Hadi dan Syeikh
Tahir Jalaluddin. Yang memperjuangkan bangsa mereka daripada belenggu
penjajahan. Tokoh yang berkaliber dan berwibawa ini meninggal dunia pada 31
Oktober 1973.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
please isi yupz